Saturday, 26 April 2014

Malaysia kukuh industri halal

MALAYSIA mengambil peluang membangunkan lagi industri halal dalam Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang bakal direalisasikan tahun depan serentak dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Hamim Samuri.

AEC bertujuan mengumpul 10 anggota Asean sebagai pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran, wilayah ekonomi yang kompetitif dengan pembangunan ekonomi yang saksama yang diintegrasikan sepenuhnya ke dalam ekonomi global.

Hamim berkata, setakat ini langkah-langkah awal telah diwujudkan untuk membangunkan industri halal, antaranya melalui Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) yang telah diadakan baru-baru ini.

“Berbeza dengan tahun sebelum ini, Mihas 2014 telah diselitkan dengan pelbagai akitivi sampingan dengan tujuan menarik lebih banyak negara yang mahu terlibat.

“Halal kini bukan sahaja relevan kepada negara Islam, bahkan kepada negara bukan Islam. Ia dilihat satu sumber untuk menjana ekonomi sesebuah negara,” katanya.

Hamim berkata Malaysia berharap untuk meningkatkan industri halal bukan sahaja sebagai pengeluar produk halal yang utama, tetapi sebagai sebuah pusat pensijilan halal dunia.

Ini berikutan ekosistem halalnya yang lengkap yang tidak boleh didapati di mana-mana negara di dunia, katanya.

Ekosistem tersebut lengkap dari segi bahan mentah, penghasilan, pembungkusan, pengilangan, logistik, pensijilan dan perbankan Islam. - Bernama

Friday, 25 April 2014

PNB agih RM116 bilion kepada pelabur

Wan Mohd Zahid (kanan) diiringi wakil CCM bersama pelajar SMK Dato’ Mahmud Paduka Raja (1) pada majlis penyampaian hadiah MSAM 2014, semalam.

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) mengagihkan RM116 bilion kepada pelaburnya sejak 1981 yang sehingga kini hasil keuntungan urus niaga pengurus dana PNB di pasaran saham.

Ahli Lembaga Pengarah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, berkata, peranan dimainkan pengurus dana terlatih yang menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan berkaliber membolehkan pelabur menikmati pulangan pada kadar memberangsangkan.

“Pengurus-pengurus dana ini menggunakan kebijaksanaan dan kemahiran dimiliki untuk memilih saham, sektor atau industri yang boleh diceburi atau dilaburkan, dan menjana keuntungan syarikat.

“Pulangan atau keuntungan pelaburan juga diperoleh melalui pengagihan dividen oleh syarikat yang dimiliki PNB,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 CCM Interschool Showdown di Tapak Pameran MSAM, semalam.

Pada program itu, sebanyak 12 sekolah bertanding di peringkat akhir yang menobatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka Raja (1), Tanah Merah sebagai johan, manakala naib johan disandang SMK Kota Bharu dan SMK Badang, Kota Bharu di tempat ketiga.

Thursday, 24 April 2014

TPM yakin bangunkan 60 usahawan IVM

TECHNOLOGY Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) yakin akan membangunkan 60 usahawan menerusi program Model Inkubator Maya (IVM) menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Inkubator dan Pembangunan Teknoprenur Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan TPM Azrai Shu'ib berkata, program ini akan memberikan ruang kepada usahawan untuk memulakan perniagaan dengan mendapatkan bimbingan secara maya.

"Selain itu, ia juga memberi sokongan seperti membantu mereka membangunkan produk daripada mula hingga akhir, yang akan menjimatkan waktu dan kos usahawan di mana sahaja," katanya selepas majlis pelancaran Program Keusahawanaan IVM dan Galeri Pengkomersilan Produk di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Azrai, program IVM dibuka kepada usahawan berasaskan teknologi seperti ICT, kejuruteraan, bioteknologi dan teknologi hijau.

Program Keusahawanan IVM dibuka kepada umum pada Julai tahun lalu dan telah menerima sebanyak 22 pendaftaran inkubator baru.

Turut dipamerkan dalam majlis pelancaran itu 255 produk daripada 41 syarikat yang terdiri daripada 32 produk teknologi maklumat (ICT), 61 produk kejuruteraan, 155 bioteknologi dan tujuh produk teknologi baru.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TPM Datuk Azman Shahidin berkata, IVM pada asasnya disasarkan kepada generasi Y, penyelidik dan syarikat baru yang membolehkan mereka mendapat akses kepada rangkaian penuh perkhidmatan maya dan program daripada peringkat penjanaan idea sehingga ke peringkat pengkomersilan.

"Kami yakin penjimatan kos dan harga yang berpatutan (untuk program IVM) akan menjadi penyelesaian kepada syarikat baru yang mempunyai kekangan pelaburan," katanya.

Perkhidmatan IVM boleh didapati menerusi dua pakej iaitu pejabat maya dan perkhidmatan maya sokongan dengan caj bulanan masing-masing RM295 dan RM135.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/