Sunday 31 August 2014

MAS akan buang sehingga 6,000 pekerja

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) tidak menjangkakan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) akan melaksanakan pembuangan pekerja Malaysia Airlines (MAS) sehingga 6,000 orang sebagai satu daripada langkah pemulihan syarikat penerbangan itu.

Presidennya, Ismail Nasaruddin berkata, walaupun telah menduga daripada awal bahawa langkah pembuangan kakitangan akan dilaksanakan namun begitu, pihaknya tidak menyangka seramai itu. Katanya, NUFAM akan meneliti secara keseluruhan pelan tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan termasuk membawa isu tersebut untuk perhatian pihak kerajaan.

"Buat masa ini, saya tidak boleh memberi sebarang komen yang mendalam berhubung perkara ini kerana saya memahami jumlah 6,000 itu sahaja sudah cukup membimbangkan pekerja MAS kerana kita tidak tahu siapa yang terlibat.

"Kami juga belum mendapat maklumat penuh, siapakah yang akan terlibat dalam pembuangan itu, adakah termasuk anak kapal atau melibatkan pekerja di peringkat pengurusan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Langkah pemberhentian pekerja itu merupakan antara kandungan daripada 12 pelan yang ditetapkan oleh Khazanah bagi memulihkan MAS. Baki lagi 14,000 pekerja dan aset-aset sedia ada akan dipindah milik kepada NewCo.

Dalam masa sama, menurut Ismail, pihaknya juga meminta agar identiti dan jenama MAS dikekalkan kerana ia telah dikenali di peringkat antarabangsa. "NUFAM mengharapkan supaya imej MAS tidak hilang begitu sahaja. Kami mahu ia dikekalkan dan menjadi satu kebanggaan buat negara," katanya.

sumber : http://utusan.com.my/

No comments: