Friday 25 December 2015

Kamu merempat dalam negara sendiri sebab kamu MALAS!!



“Kamu berdua boleh merempat di negara sendiri sebab apa?..Sebab kamu malas! ” kata seorang hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini kepada pasangan suami isteri yang mengaku bersalah atas tuduhan merompak seorang juruwang sebuah kedai serbaneka, lapan bulan lalu.

Hakim Amernudin Ahmad menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan tiga kali terhadap Nasaruddin Naser, 35, manakala isterinya, Fatin Nadia Abdullah, 20, dihukum penjara 10 tahun.

Nasaruddin yang memakai baju berwarna jingga dari Penjara Kajang kini sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun dan sebatan dua kali manakala Fatin Nadia yang memakai baju kurung berwarna ungu juga menjalani hukuman penjara selama tiga tahun kerana kesalahan bersama-sama melakukan rompakan dalam kes lain.

Sementara itu bagi pertuduhan hari ini, pasangan terbabit yang mempunyai seorang anak yang masih kecil mengaku bersalah terhadap tuduhan bersama-sama merompak juruwang warga Nepal, Subais Waiba, wang tunai RM132.70 dan pelbagai jenis kotak rokok di kedai serbaneka 7-Eleven, Jalan 5/38D Taman Sri Sinar, Segambut di sini, pukul 11.50 malam, 28 April lalu.

Dalam penghakimannya juga Amernudin mengingatkan pasangan itu yang tidak bekerja bahawa undang-undang tidak akan melepaskan mereka yang melanggarnya.

“Selama saya berkhidmat, jarang saya lihat orang perempuan terlibat dalam kes ini. Dalam apa alasan sekalipun bukan ini caranya kamu berdua mendapatkan wang, banyak cara lain,” katanya.

Beliau mengarahkan hukuman penjara terhadap Nasaruddin berjalan secara serentak dengan hukuman terdahulu yang berkuat kuasa pada 27 November lalu manakala hukuman terhadap Fatin Nadia juga dilaksanakan serentak dengan hukuman terdahulu yang bermula 12 Disember lalu.

Amernudin memutuskan demikian selepas menerima rayuan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Ezrene Zakariah mengemukakan pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Terdahulu mereka juga merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan Nasaruddin sedang menjalani hukuman penjara manakala isterinya memberitahu mempunyai anak yang masih kecil dan telahpun membuat pengakuan bersalah.

Berdasarkan fakta kes, pada malam kejadian, Subais dan seorang juruwang wanita yang sedang bekerja di kedai tersebut telah didatangi oleh Nasaruddin yang mengacukan pisau kepada Subais dan mengarahkannya memberikan semua wang dalam peti tunai manakala Fatin Nadia pula telah mengambil semua kotak rokok di belakang peti berkenaan sebelum melarikan diri.

Suami isteri itu kemudiannya berjaya ditahan oleh pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dekat sini pada pukul 3.20 petang, 3 Disember lalu. - UM


No comments: