Monday 2 June 2014

CEO MDeC calon utama terajui MAHB

MAHB mengawal operasi 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia.

Kuala Lumpur: Jawatan Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang kini disandang Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid dijangka bertukar kepada individu lain dalam tempoh masa terdekat memandangkan tempoh kontrak beliau tamat pada bulan ini.

Sumber industri memberitahu, MAHB kini sedang mengenal pasti individu terbaik bagi jawatan terbabit yang mana calon utamanya ialah Datuk Badlisham Ghazali yang kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) disandang sejak Januari 2006.

Badlisham ketika dihubungi Bisnes Metro untuk mengulas kenyataan terbabit bagaimanapun enggan memberi sebarang komen tapi tidak menafikan.

Beliau juga menyarankan agar semua pihak menunggu keputusan yang bakal diumumkan kelak. “Saya tidak berkata ya atau tidak kerana apa paling penting pada ketika ini adalah untuk terus memberi fokus kepada kerja utama saya iaitu bersama MDeC,” katanya di sini, semalam. Sebelum menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Badlisham adalah Pengarah dan Pengurus Besar Negara bagi Kumpulan Penyelesaian Teknologi Hewlet-Packard Malaysia sejak 1988. Beliau adalah pemegang Ijazah Sains bagi Sains Komputer dari Nothern Illinois, Amerika Syarikat dan Diploma Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sumber berkata, isu pengganti Tan Sri Bashir Ahmad bukan sesuatu yang baru dalam kumpulan terbabit memandangkan jawatan berkenaan adalah berasaskan kontrak dan beliau menguruskan MAHB sejak 7 Jun 2013. “Keputusan sama ada untuk mengekalkan atau menamatkan perkhidmatannya dibuat bukanlah berasaskan prestasi atau masalah lain, namun adalah kerana perkhidmatan beliau berasaskan kontrak,” kata sumber itu lagi.

Keputusan untuk memilih pengganti Tan Sri Bashir Ahmad bakal dilakukan oleh Khazanah Nasional memandangkan MAHB adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

sumber dari : http://www.hmetro.com.my/

No comments: