Thursday 5 June 2014

MyULM mula sebelum akhir tahun

PLATFORM Dagangan Tidak Tersenarai Malaysia (MyULM), yang menyediakan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mendapatkan akses kepada pasaran modal, akan dimulakan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata usaha ke arah merealisasikan platform dagangan baharu itu sedang giat dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Katanya, MyULM ialah satu pasaran maya yang membolehkan PKS mendapatkan sumber pembiayaan dengan cara membentangkan profil syarikat kepada pelabur berpotensi.

“Pelabur kemudiannya boleh melihat kepada profil PKS sebelum membuat keputusan pelaburan. Ini adalah satu bentuk modal risiko yang menambah baik akses PKS kepada pasaran modal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Pameran Tahunan PKS (SMIDEX) 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim.

MyULM yang diumumkan oleh SC pada tahun lalu ialah platform dagangan khusus untuk syarikat tidak tersenarai.

Ia antara langkah dikenal pasti di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2 untuk menampung permintaan platform sekuriti tidak tersenarai dalam usaha menyokong modal risiko jangka panjang serta memperluaskan asas pembiayaan untuk PKS.

Secara umumnya, platform dagangan itu akan menghubungkan pasaran modal kepada pelbagai produk pelaburan alternatif lain termasuk modal teroka inovatif, kerja kreatif serta pelaburan tanggungjawab sosial.

Ia juga akan melengkapi serta menyokong pelbagai usaha pembangunan yang sedang diterajui oleh beberapa agensi kerajaan dan sektor swasta.

Sementara itu, Mustapa berkata sektor PKS berada dalam landasan kukuh untuk menyumbang antara 40 hingga 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.

“Sumbangan sektor PKS kepada KDNK ketika ini ialah sekitar 33 peratus dan kita mempunyai masa panjang untuk mencapai sasaran itu. Namun apa yang pasti ialah sektor PKS berkembang lebih pantas daripada ekonomi, dengan pertumbuhan puratanya sejak lima tahun lalu sekitar 6.5 peratus,” katanya.

Mengenai penganjuran SMIDEX pada tahun ini, Mustapa berkata kementerian menyasarkan potensi jualan mencecah RM350 juta melalui penyertaan 50 syarikat multinasional dan syarikat utama bersama 103 PKS.

Katanya, SMIDEX yang memasuki kali ke-17 penganjurannya pada tahun ini disertai syarikat yang lebih pelbagai termasuk dari luar negara dalam bidang aeroangkasa, perkapalan, logistik, peruncitan, automotif, elektrik dan elektronik, makanan dan minuman serta semikonduktor.

“Setakat jam 1 tengah hari ini (semalam) saya difahamkan potensi jualan sudah mencecah RM138 juta dan angka ini boleh melepasi sasaran untuk tahun ini,” katanya.

Pada SMIDEX tahun lalu, sebanyak 165 sesi padanan perniagaan direalisasikan membabitkan nilai jualan RM322.2 juta, meningkat 30 peratus berbanding tahun sebelumnya.

SMIDEX 2014 bertemakan ‘Menghubungkan Titik-Titik’ diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur selama tiga hari bermula semalam.

Ia disertai 350 ruang pameran yang membabitkan 74 syarikat, termasuk penyertaan dari luar negara, dengan jangkaan kehadiran 10,000 pengunjung.

sumber dari : http://www.bharian.com.my/
Oleh : Mohd Hamizar Hamid & Shahrizan Salian

No comments: