Wednesday 4 June 2014

Hutang 1MDB tidak berisiko besar

KUALA LUMPUR 3 Jun - 1Malaysia Development Bhd., (1MDB) menjelaskan paras hutangnya ketika ini tidak membawa risiko yang besar sehingga mampu menjejaskan kestabilan dan penarafan negara, kerana kedudukan kewangannya ketika ini agak kukuh bagi menanggung segala hutang tersebut.

Jelas 1MDB, sebagai sebuah syarikat liabiliti terhad, mereka hanya memberi risiko yang sedikit kepada kerajaan selaku pemegang saham syarikat. Kerajaan telah memberi jaminan berjumlah RM5.8 bilion daripada keseluruhan jumlah hutang syarikat tersebut, bagaimanapun 1MDB menjelaskan mereka tidak pernah gagal membayar semula pinjaman mengikut jadual yang ditetapkan.

"Semua hutang-hutang 1MDB dilindungi oleh aset-aset syarikat berserta aliran tunai yang kukuh dan potensi pertumbuhan yang baik "Pada masa sama, aset tunai syarikat ketika ini dilaburkan di dalam sektor tenaga dan hartanah yang bertujuan meraih semula pendapatan. Hal ini membolehkan syarikat membayar semula hutang yang dilakukan dan memberi pulangan kepada kerajaan," jelas syarikat itu dalam kenya­taannya di sini hari ini.

Bagi tahun kewangannya berakhir Mac 2013, jumlah aset syarikat itu berjumlah RM46 bilion berbanding jumlah hutangnya RM37 bilion. Maklumat itu boleh didapati laporan akaun 1MDB yang boleh diakses oleh orang ramai. Tambah syarikat itu lagi, baru-baru ini juga mereka telah melaksanakan penstrukturan semula sehingga membolehkan hutang khasnya menurun kepada RM5.5 bilion daripada RM6.17 bilion dengan langkah menjana dana secara dalaman. Hutang khas itu digunakan sejak dua tahun lalu untuk tujuan pengambilalihan Powertek Energy Sdn. Bhd., daripada Tanjong PLC.

"Setelah lima tahun ber­operasi, 1MDB menjangka segmen tenaga dan hartanah ini bakal memberi pulangan yang baik, iaitu mengatasi kos perbelanjaan mo­dal," menurut syarikat itu lagi. Di bawah segmen tenaga­nya, 1MDB mempunyai 16 pusat janakuasa tenaga di enam buah negara. Malah syarikat itu membekalkan tenaga dengan kapasiti 5,570 MegaWatt sekali gus menjadikan mereka penjana tenaga bebas (IPP) kedua terbesar dalam negara. Dalam segmen hartanah, syarikat itu merupakan pemaju utama rancangan pembangunan Tun Razak Exchange (TRX), iaitu projek komersial Bandar Malaysia di tengah-tengah Kuala Lumpur dengan keluasan 200 hektar.

sumber dari : http://utusan.com.my/utusan/Korporat/

No comments: