Sunday 20 September 2015

Berjalan 2,353 km cuci 140 masjid


ANNAS AIMAN (kanan), Muhammad Aidil (tengah) dan Muhammad Hizamuddin bersama-sama membersihkan kawasan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Selepas berjalan kaki sejauh 2,353 kilo­meter (km) selama 239 hari, tiga orang pemuda berjaya menca­tatkan rekod tersendiri apabila membersihkan sebanyak 140 buah masjid dalam Kembara Berjalan Kaki 1Semenanjung Malaysia Membersihkan Masjid berakhir semalam. 

Ketiga-tiga anak muda berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu ialah Annas Aiman Jaffry, 27, adiknya Muhammad Aidil, 24, dan seorang rakan, Hizamuddin Aliddin, 25 memulakan misi mereka sejak 24 Januari lalu.

Menurut Annas Aiman, kembara rohani mereka itu bermula dari Shah Alam dengan setiap hari mereka berjalan kaki sambil menolak troli sejauh kira-kira 40 km sebelum singgah di masjid-masjid terpilih. 

“Setiap hari dengan menggunakan dua buah troli yang dipenuhi kelengkapan untuk mencuci tandas, tempat wuduk dan pekarangan masjid, kami menolaknya serta berjalan kaki kira-kira sejauh 40 km.

“Perjalanan kami bermula dari Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sebelum naik Pahang, Kelantan serta Terengganu. 

“Seterusnya kami ke Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak sebelum kembali ke Shah Alam,” katanya ketika ditemui selepas membersihkan masjid terakhir iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam. 

sumber : kosmo.com.my/

No comments: