Kuala Lumpur: Hidup lagi kah mangsa? Itu persoalan ditimbulkan susulan
penyebaran dua video memaparkan sekumpulan ‘mat rempit’ terpelanting
beramai-ramai dalam satu perlumbaan haram di sekitar Lebuhraya Shah Alam
(KESAS) di sini, awal pagi semalam.
Rakaman video dipercayai dirakam penonton lumba haram itu menjadi viral di
media sosial apabila ada yang mendakwa empat remaja itu maut dan putus badan.
Kejadian dilaporkan berlaku jam 5 pagi apabila sekumpulan ‘mat rempit’ yang
berlumba gagal mengelak sebuah kenderaan model Proton Exora yang berada di
lorong tengah lebuh raya berkenaan dan merempuhnya.
Sekurang-kurangnya empat penunggang motosikal terbabit dalam nahas itu yang
mengakibatkan mereka terseret dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum
terpelanting di atas jalan raya.
Kejadian itu turut menyebabkan ratusan ‘mat rempit’ yang menjadi penonton
perlumbaan itu cabut lari dari lokasi berkenaan.
Difahamkan, tiada mangsa yang maut dalam kemalangan itu seperti yang
disebarkan di media sosial, namun seorang mat rempit patah kaki manakala tiga
lagi cedera di kaki, tangan dan muka.
Sementara itu Pegawai Turus Trafik Selangor Deputi Superintendan Azmi Mansur
berkata, kemalangan berlaku di Lebuhraya Kesas berhampiran susur keluar ke Alam
Impian, Shah Alam, kira-kira jam 5 pagi semalam.
Menurutnya, tiada kematian berlaku seperti tersebar di media sosial dan
semua mangsa hanya cedera di anggota badan.
“Pemandu Exora terbabit membuat laporan di Balai Polis Trafik Klang Selatan
petang semalam. “Mereka yang mengendalikan perlumbaan itu sangat pantas membersihkan lokasi
kejadian dan sebab itu pihak pengurusan KESAS gagal mengesan kemalangan itu,”
katanya.
Katanya, polis kini menjalankan siasatan termasuk mengesan individu yang
terbabit dengan perlumbaan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987.
‘Jemputan’ menyertai perlumbaan haram itu disebarkan secara meluas menerusi
aplikasi WhatsApp dan WeChat sejak kelmarin yang turut menyediakan beberapa
kategori perlumbaan untuk disertai mat rempit.
sumber : hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment