ANGGOTA polis yang cedera selepas dipukul 10 lelaki dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Sri Taming, Kajang.
Kajang – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal parah
dibelasah sekumpulan 10 lelaki selepas mangsa dikatakan menegur
perbuatan mereka di persimpangan lampu isyarat Sri Taming, di sini,
semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 20 tahun
bersama seorang lagi rakan dikatakan mengarahkan dua kereta iaitu Proton
Waja dan Nissan Sentra dinaiki 10 lelaki berhenti di tepi jalan untuk
pemeriksaan.
Bagaimanapun, kumpulan suspek bertindak memukul mangsa secara
beramai-ramai, dipercayai kerana tidak puas hati apabila diarahkan
memberhentikan kereta.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata,
anggota polis terbabit turut disamun sebelum suspek melarikan diri.
“Dompet mangsa bersama telefon bimbit dilarikan suspek manakala rakan mangsa sempat melarikan diri untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Difahamkan anggota polis terbabit bertugas di Istana Melawati, Putrajaya.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan
orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membantu polis dengan
menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. – mynewshub.cc/
No comments:
Post a Comment