INILAH Tesco Bukit Mertajam di Seberang
Perai yang atas nama kemanusiaan menawarkan pekerjaan kepada seorang lelaki
yang mencuri di pasar raya itu.
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang dicekup mencuri buah-buahan dan air di
pasar raya Tesco Bukit Mertajam di sini Rabu lalu sepatutnya dihukum penjara
kerana perbuatannya itu.
Namun, kisah ayah kepada tiga orang anak yang mencuri demi memberi makan
anak-anaknya yang kelaparan menyebabkan pengurusan pasar raya tersebut akhirnya
menawarkan pekerjaan kepada lelaki berusia 31 tahun itu.
Lelaki berkenaan didapati mencuri buah pir wangi berharga RM5.75, buah epal
Royal Gala (RM6.57) dan enam botol minuman jenama Ranger 260 mililiter
(RM14.99) kira-kira pukul 6.30 petang pada Rabu lalu sambil membawa salah
seorang anaknya.
Jurucakap Tesco berkata, tawaran itu diberikan atas dasar kemanusiaan
memandangkan lelaki terbabit berdepan pelbagai masalah hidup dan mencuri kerana
terdesak.
“Selepas disoal siasat, lelaki terbabit mengaku mencuri kerana tidak
mempunyai wang bagi membeli makanan untuk tiga orang anaknya yang berusia
antara dua hingga tujuh tahun yang kelaparan.
“Isterinya yang berusia 31 tahun kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi
Hospital Bukit Mertajam kerana komplikasi akibat keguguran dan diberitakan
sedang koma,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Difahamkan sehingga kini sudah dua kali wakil Tesco pergi ke rumahnya di
Bukit Mertajam bagi melakukan siasatan lanjut dan didapati keluarga lelaki
terbabit dalam keadaan terdesak.
Menurut jurucakap itu lagi, pihaknya tidak mengeluarkan surat tawaran
bekerja sebaliknya memberi tawaran terbuka kepada lelaki terbabit untuk mula
bertugas pada bila-bila masa. - kosmo.com.my/
No comments:
Post a Comment