Tuesday 12 January 2016

Petua Tradisional Merawat Sakit Tekak


Musim cuaca panas begini memang mudah terkena sakit tekak, lebih lebih lagi jika anda kurang minum air. Selain ubatan moden, ramai yang mencari alternatif dengan penggunaan petua-petua tradisional yang dikatakan lebih mujarab dan berkesan.

Sakit tekak biasanya diiringi oleh batuk, demam dan selsema. Suara akan bertukar menjadi serak dan adakalanya sampai ke tahap langsung tak keluar suara bila bercakap. Malah proses menelan makanan dan minuman juga akan terasa perit di bahagian kerongkong.

Masa inilah tekak akan berasa sangat tidak selesa, waktu tidur malam pun akan mula terjejas sebab susah nak tidur lena. Selain menghisap ‘Lozenges’ (gula-gula untuk meredakan sakit tekak, anda juga boleh mencuba beberapa petua di bawah ini yang menggunakan bahan-bahan semulajadi yang mudah didapati di rumah anda.

Petua Tradisional Merawat Sakit Tekak
  1. Air asam jawa dikatakan mujarab untuk menyejukkan tekak yang kepanasan dan kekeringan. Malah air asam jawa boleh juga digunakan untuk menurunkan suhu badan. Untuk merawat sakit tekak, anda perlukan segelas air suam. Campurkan dengan sedikit asam jawa, kacau dan minum.
  2. Rasa sakit di bahagian kerongkong juga boleh dikurangkan dengan berkumur menggunakan air garam. Ambil segelas air dan campurkan dengan sesudu besar garam. Kacau sehingga garam larut. Kemudian kumur sehingga habis. Amalkan dua kali sehari sehingga rasa sakit tekak tiada lagi.
  3. Air limau juga mampu merawat rasa sakit di bahagian tekak. Ambil sebiji limau nipis dan belah dua. Perah jus limau nipis ke dalam segelas air suam. Boleh diminum begitu sahaja atau ditambahkan dengan sedikit gula sebagai menambah rasa. Lebih mujarab jika ditambah dengan sesudu madu kerana madu juga boleh menjadi penawar kepada masalah sakit tekak. Amalkan secara kerap untuk hilangkan rasa sakit.
  4. Satu lagi petua tradisional merawat sakit tekak adalah dengan menggunakan timun sebagai bahan utama. Kupas kulit timun dan kisarkan untuk dijadikan jus. Selain itu anda boleh makan timun secara mentah dan ditambah dengan sedikit garam. Biji timun dikatakan mempunyai khasiat untuk menghilangkan rasa gatal di bahagian kerongkong.
sumber : tokeinfo.com/

No comments: