Wednesday 13 January 2016

Pistol dirampas, pengawal peribadi ‘Datuk Seri’ disiasat

Lapan das tembakan dipercayai dilepaskan pengawal peribadi itu dalam kejadian berkenaan.

KUALA LUMPUR, 13 Januari:

Polis telah merampas senjata api milik pengawal peribadi yang melepaskan tembakan sehingga menyebabkan dua cedera di Jalan Empat, Off Jalan Chan Sow Lin, Isnin lalu, untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata, senjata api pengawal peribadi itu adalah pistol jenis Glock 19.

“Walaupun dia mempunyai lesen menggunakan senjata api, tetapi polis masih menjalankan siasatan, kerana sudah melepaskan tembakan.

“Kenyataan daripada pengawal peribadi sudah dirakam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, pengawal peribadi kepada seorang ‘Datuk Seri’ dipercayai melepaskan lapan das tembakan ke arah suspek yang menyerang majikan dan rakannya yang sedang bersarapan di sebuah warung.

Tembakan tersebut terkena bahagian leher suspek dan kaki seorang pekerja warung di tempat kejadian. Tajuddin berkata, siasatan mendapati, kejadian tersebut ada kaitan dengan perselisihan faham dalam perniagaan.

Menurutnya, suspek yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan dilaporkan stabil, namun keterangannya belum diambil.

Suspek itu ditahan reman hingga 18 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan membunuh.

sumber : therakyatpost.com/

No comments: