Wednesday, 13 January 2016

Wabak Denggi – Ketam Nipah Bawa Rezeki

KUALA TERENGGANU – Peningkatan kes demam denggi di Terengganu sejak akhir Disember lepas membuka pintu rezeki kepada peniaga restoran yang menjual menu berasaskan ketam nipah.

Ia berikutan permintaan tinggi penghidap denggi di negeri Pantai Timur tersebut yang percaya khasiat ketam jenis itu mampu menyembuh dan mengurangkan kesakitan.

Pemilik restoran Aqua, Azwan Noordin, 34; yang popular dengan hidangan ‘Sup Denggi Ser’ berkata jualan hariannya meningkat kepada 12 kilogram berbanding lapan kilogram sebelum wabak denggi bermula.

“Ketam nipah agak sukar diperoleh di Kuala Terengganu, jadi saya cuba dapatkan bekalan dari Kemaman dan Kampung Fikri di Setiu untuk memastikan bekalan sentiasa ada di restoran.

“Biasanya kami akan mengambil tempahan daripada pelanggan mulai pukul 10 pagi dan setelah siap dimasak, sup ketam nipah akan dibungkus untuk dibawa pulang kepada penghidap denggi yang berada di rumah.

“Kami menghadkan hanya seekor ketam nipah kepada setiap pelanggan. Kami kira ketam dan baru ambil tempahan.

“Ia membolehkan penghidap denggi mendapat menu masing-masing mengikut pesanan yang ditempah awal,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya walaupun tiada kajian saintifik yang membuktikan ketam nipah mampu menyembuhkan demam denggi, khasiat hidupan sungai itu telah diakui sebagai antara cara mengurangkan derita pesakit.

Azwan mula membuka restoran sejak tiga tahun lalu berkata walaupun sangat sukar peroleh ketam itu, beliau tetap berusaha mencarinya dengan niat mahu bantu penghidap denggi yang mahu sup ketam untuk dibuat penawar demam tersebut.

“Memang susah nak cari ketam ini, di pasar biasa memang tak ada, sebab itu saya sanggup beli walaupun harga jualan agak mahal iaitu RM80 untuk sekilogram bersaiz besar dan RM25 hingga RM30 untuk yang saiz kecil.

“Kami tidak memaksa pelanggan membeli sup ketam nipah yang siap dimasak dari restoran, sebab itu kami jual ketam nipah segar ini kepada pelanggan dengan harga RM8 untuk satu gram,” katanya.

Tinjauan di restoran itu turut mendapati pelanggan mula mengambil tempahan sup ketam nipah mulai pukul 6 petang dan ada juga yang membeli ketam nipah segar untuk dimasak sendiri di rumah.

Seorang pekerja swasta, Faisal Ismail, 33, berkata beliau membeli dua ketam nipah bersaiz kecil dengan harga RM45 untuk diberikan kepada bapa mentuanya yang tinggal di Kota Baharu, Kelantan.

"Bapa mentua saya kena denggi dua hari lepas dan cuba cari ketam nipah di Kota Baharu namun gagal. Jadi hari ini saya datang ke restoran ini untuk membeli ketam nipah dan terus menghantarnya ke Kota Baharu agar boleh dihidangkan segera kepada bapa mentua,” katanya yang tinggal di Kampung Ladang, dekat sini.

Seorang pelanggan, Hisham Mustafa Muda, 36: dari Kampung Kubang Jela, Manir pula mendakwa selain menjadi penawar demam denggi, ketam nipah turut berkhasiat menyembuhkan penyakit kencing tikus.

“Ada dua kawan saya sembuh daripada virus kencing tikus selepas cuma minum hidangan sup ketam nipah ini, malah saya sendiri sering menikmati menu ini jika berasa tidak sihat badan atau sengal sendi.

“Tetapi jika sekadar makan untuk suka-suka, saya hanya akan tempah sekiranya ada lebihan stok di restoran kerana biarlah ia dibeli dahulu oleh mereka yang benar-benar memerlukannya,” katanya. – BERNAMA


No comments: