Thursday, 10 December 2015

Percutian keluarga berakhir tragedy

Petugas rumah peranginan menunjukkan lokasi Ashyikin ditemui lemas.

TELOK KEMANG – Kegembiraan lima keluarga dari Klang, Selangor bercuti di Port Dickson berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui mati lemas di kolam renang di sebuah rumah peranginan di Batu 9 Telok Kemang di sini, petang kelmarin. 

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6.15 petang selepas mangsa, Nur Nasuha Ashyikin Mohd Hafiz, 7, ditemui dalam keadaan terlangkup di dasar kolam renang dewasa oleh salah seorang sepupunya. 

Mangsa dikejarkan ke Hospital Port Dickson (HPD) oleh ahli keluarganya namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. 

Bapa saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku di luar jangkaan dan dia masih terkejut dengan insiden berkenaan. 

"Saya tak sangka Ashyikin pergi ke kolam renang dan mandi seorang diri kerana saya dan ahli keluarga lain berada di rumah untuk membersihkan diri selepas mandi di pantai. 

"Masa itu kami sedar dia (Ashyikin) tiada dan mula mencarinya di seluruh kawasan rumah sebelum dia ditemui di dalam kolam renang. Saya sangat sedih dan terkilan, namun perlu reda dengan ketentuan ALLAH,” katanya. 

Katanya, mereka tiba di port Dickson Ahad lalu dan dijangka pulang semalam. 

"Kami bawa Ashyikin bersama kakaknya berusia 10 tahun bercuti di sini," katanya. 

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Hafiz Sulaiman, 32, berkata, dia tidak dapat menahan sebak ketika menerima berita menimpa anaknya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik. 

“Saya dari Meru (Klang) terus bergegas ke sini (HPD) dan ada hubungi bekas isteri yang tinggal di Kuala Selangor memaklumkan kejadian ini. 

“Kali terakhir saya berjumpa arwah Jumaat lepas, dua hari sebelum mereka bertolak ke Port Dickson. Ashyikin seorang anak yang rajin. Saya sedih kerana dia pergi pada usia semuda ini, tapi saya perlu tabah dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Baharudin berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

Menurutnya, jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya dan dibawa ke Kuala Selangor untuk urusan pengebumian.



sumber : sinarharian.com.my/

No comments: