ULYA INSYIRAH MUHAMAD SARDI
KOTA BHARU - Pasangan guru memfailkan saman RM10 juta terhadap 10 doktor dan
Hospital Besut, di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini didakwa cuai hingga
mengakibatkan kematian anak perempuan mereka yang berusia 4 tahun, dua tahun
lalu.
Saman menuntut keadilan bagi pihak Ulya Insyirah Muhamad Sardi itu difailkan
Muhamad Sardi Saad, 39, dan isteri, Fadilah Abd Wahab, 45, melalui Tetuan Syukran
Noordin Advocates & Solicitors, pada jam 11 pagi.
Mereka menamakan Dr Shairazi Azizi Mohd Salleh; Dr Mohd Ruhaifi Yusuf; Dr
Norzaherawati Aryani Md Tahir; Dr Hasmani Hamat; Dr Muhammad Solehuddin Ishak
dan Pengarah Hospital Besut sebagai defendan pertama hingga keenam.
Plaintif turut menamakan Dr Noor Ain Noor Afendi; Dr Sharifah Huda Engku
Alwi; Datuk Dr Jimmy Lee Kok Foo; Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala
Terengganu dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ketujuh hingga ke-11.
Menceritakan kembali detik hitam menimpa anak bongsu daripada tiga beradik
itu, Fadilah berkata, Ulya yang dibahasakan sebagai adik, terjaga daripada
tidur dan muntah-muntah pada jam 4 pagi, 5 Disember 2013.
“Saya bawa Ulya ke hospital pada jam 9.30 pagi dan diberi rawatan susulan
serta dimasukkan air. Tidak lama selepas itu tangan dan badannya bengkak. Pada
jam 5 petang, saya tanya doktor kenapa macam tu, doktor berkenaan hanya jawab
‘tidak tahu’ dan beredar.
“Pada jam 11 malam, kerana tidak puas hati, saya tanya sekali lagi dan minta
pemeriksaan X-ray dilakukan. Hasilnya mendapati ada tompokan putih iaitu
lebihan air dalam paru-paru. Ketika itu, keadaannya amat kritikal dan lemah
hingga tidak sedarkan diri,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan genting itu juga, datang seorang lagi doktor
memasukkan ubat dan kerana kelemahan material seperti plak rosak serta
kehabisan gas dan ketiadaan kepakaran, Ulya kemudian dibawa ke Hospital
Sultanah Nur Zahirah, pada jam 5 pagi, esoknya.
“Sampai di sana pada jam 6.50 pagi, Ulya dimasukkan ke wad rawatan rapi dan
saya serta suami hanya dibenarkan menunggu di luar. Tiada apa-apa makluman
sehinggalah pada jam 8.05 pagi, kami diberitahu Ulya sudah meninggal dunia,”
katanya.
Sementara itu, Muhamad Sardi berkata, pemergian Ulya yang mempunyai seorang
abang berusia 14 tahun dan kakak berusia 10 tahun tersebut memberi kesan yang
sangat mendalam sekali gus merubah sebahagian besar rutin kehidupan mereka
sekeluarga.
Katanya, dia dan isteri mengalami trauma tidak dapat tidur, makan atau
melaksanakan tugas seharian dengan sempurna hingga memaksa mereka mendapatkan
rawatan terapi mental serta emosi bersama Pakar Psikiatri di Hospital
Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, di sini, hingga kini.
“Kami meredai pemergian Ulya, tetapi saman ini sebagai pembuka jalan supaya
ada satu perubahan di Hospital Besut, kami tidak mahu nyawa tidak berdosa
melayang dan perkara sama berlaku pada orang lain, cukuplah pada anak saya dan
orang lain tidak perlu menerima nasib sama macam kami,” katanya.
Pihak plaintif menuntut ganti rugi am terbabit kerana kecuaian pihak
berkenaan yang didakwa hingga menyebabkan kematian anak mereka akibat bengkak
dalaman serius kerana kemasukan air atau lebihan ubat rawatan.
sumber : sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment