Sunday 6 December 2015

Samsung bayar Apple RM2.2 bilion

Beberapa pekerja berjalan berdekatan logo Kumpulan Samsung di bangunan ibu pejabat syarikat itu di Seoul, Korea Selatan.- AGENSI

SAN FRANCISCO – Samsung bersetuju untuk membayar pihak lawannya, Apple Inc. sebanyak AS$548 juta (RM2.2 bilion) dalam perbalahan selama setahun mengenai isu paten di mahkamah persekutuan di California. 

Gergasi elektronik Korea Selatan itu dalam satu kenyataan kelmarin menyatakan persetujuan untuk membayar Apple tetapi menegaskan bahawa syarikat itu berhak untuk mendapatkan semula wang tersebut jika berlaku perubahan keputusan pada satu kes ra­yuan yang sedang dalam perbicaraan. 

Sementara itu, Apple memberitahu bahawa syarikat itu tidak bersetuju dengan cadangan Samsung mengenai hak untuk mendapat semula bayaran berkenaan. 

Mahkamah dalam penghakiman pada September lepas memberi kemenangan kepada Apple dalam tuntutan patennya terhadap Samsung, manakala syarikat Korea Selatan tersebut mempunyai pilihan sama ada membayar atau membuat rayuan ke Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS). 

“Samsung mengesahkan akan membayar Apple sebanyak AS$548 juta berdasarkan penghakiman itu," ujar wakil peguam syarikat berkenaan dalam satu kenyataan mahkamah. 

Berdasarkan kenyataan tersebut, pembayaran perlu dijelaskan dalam masa 10 hari selepas penghantaran invois Apple kepada Samsung kelmarin. 

Selain itu, Apple turut meminta kebenaran mahkamah untuk memfailkan tuntutan ganti rugi terhadap produk-produk yang tidak tersenarai dalam keputusan tersebut. 

Tahun lalu, kedua-dua syarikat itu memutuskan untuk menggugurkan semua isu paten di luar AS sekali gus menamatkan perang undang-undang dua syarikat pengeluar telefon pintar terbesar dunia itu. 

Bagaimanapun, Apple dan Samsung akan meneruskan kes-kes yang sedia ada di mahkamah AS.
Sebelum ini, berlaku perdebatan sengit di beberapa negara dengan setiap satunya menuduh berlaku pe­langgaran isu paten untuk produk telefon pintar dan tablet. – AFP 

sumber : kosmo.com.my/

No comments: