Monday, 24 March 2014

CGC jamin biaya RM2.7b

Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) komited untuk menjamin pembiayaan berjumlah RM2.7 bilion tahun ini yang dijangka dapat dimanfaatkan oleh kira-kira 5,600 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pihaknya berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran itu menerusi pelbagai skim jaminan yang ditawarkan.

Beliau berkata, CGC juga mewujudkan kerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dalam usaha mengukuhkan lagi sokongan terhadap pembangunan PKS Bumiputera.

“Kerjasama ini akan membuka jalan untuk CGC lebih memahami keperluan ahli DPMM mengenai pembiayaan dan cabarannya yang kami percaya akan membantu dalam membangunkan produk serta perkhidmatan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan perniagaan PKS.

“Inisiatif ini adalah selaras dengan agenda pembangunan Bumiputera negara kerana kami komited untuk menangani beberapa isu utama yang membabitkan komuniti usahawan Bumiputera terutama dalam akses kepada pembiayaan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, CGC dan DPMM juga sedang merancang untuk membangunkan pelan holistik dalam usaha untuk meningkatkan lagi produktiviti dan daya saing PKS Bumiputera untuk memastikan pertumbuhan perniagaan serta kejayaan mereka.

Wan Azhar berkata, pada masa ini, CGC menawarkan dua jenis pembiayaan yang direka khas untuk usahawan Bumiputera iaitu Enhancer Bumi dan Projek Tabung Usahawan Bumiputera-i (TPUB-i).

Beliau berkata, tahun lalu CGC juga memberi pembiayaan berjumlah hampir RM500 juta di bawah semua jenis skim jaminan dan memberi manfaat kepada lebih 700 PKS Bumiputera.

“Tahun ini, kami menyasarkan untuk menyediakan RM2.7 bilion pembiayaan kepada semua segmen PKS dengan 35 peratus daripadanya disasarkan untuk PKS Bumiputera.

“Setiap tahun, CGC berusaha membantu sebanyak mungkin syarikat kerana matlamat penubuhan CGC adalah untuk memperkasakan sektor PKS dan menyumbang pelbagai jenis penyelesaian kewangan bagi PKS mendapatkan akses kepada pembiayaan,” katanya.

Setakat ini, CGC telah menguruskan sebanyak 42 skim jaminan termasuk 16 skim pembiayaan kerajaan.

Pembiayaan lain yang diuruskan oleh CGC termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dan Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i) dengan peruntukan masing-masing berjumlah RM3.5 bilion dan RM300 juta.

Selain itu, melalui Biro Kredit Malaysia, CGC turut membantu PKS mewujudkan sejarah dan rekod prestasi kredit bagi meningkatkan kredibiliti dan ‘bankabiliti’ mereka untuk mendapatkan pembiayaan secara merit dan pada kos yang berpatutan.

sumber dipetik dari:-http://www.hmetro.com.my/articles/CGCjaminbiayaRM2_7b/Article

No comments: