Tuesday 25 March 2014

Kewangan Islam dapat sambutan luar biasa

KUALA LUMPUR - Kewangan Islam berkembang pesat dalam industri kewangan global dalam tempoh yang singkat dan semakin popular di kebanyakan negara bukan Islam, kata bekas timbalan perdana menteri Tun Musa
Hitam.

Bercakap kepada Bernama, Musa berkata ciri-ciri dalam kewangan Islam berjaya mencetuskan keyakinan dalam kalangan kedua-dua pengguna Islam dan bukan Islam untuk melabur wang mereka dalam sistem itu.

"Dari segi kewangan Islam, di samping beretika, telus, bertanggungjawab dan mempunyai tadbir urus korporat yang baik, ia juga mempunyai ciri menarik dipanggil pengurusan risiko," katanya selepas muncul dalam program "Dalam Radar" oleh Bernama Radio 24 di Wisma Bernama, semalam.

"Dalam kewangan Islam, anda tanggung risiko 50-50. Ia amat menarik dan anda perlu mendalaminya untuk memahami betapa ia amat berbeza, selain faktor penggalak yang menggerakkan kewangan Islam," kata Musa.

Beliau menarik perhatian bahawa kewangan Islam ditadbir oleh hukum Syariah yang terdedah kepada interpretasi yang berbeza.

"Kita tidak perlu risau kerana pihak berkuasa dan bank-bank membincangkan perkara ini hampir setiap hari dan cuba menyelaraskan pelaksanaannya. Inilah yang saya sifatkan sebagai kerja terus berjalan," katanya.

Menyentuh mengenai persidangan Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-10, Musa yang juga pengerusinya berkata sidang itu akan diadakan di Dubai dari 28 hingga 30 Oktober. - Bernama

sumber dipetik dari:-http://www.sinarharian.com.my/bisnes/

No comments: