Friday, 28 March 2014

Sumbangan PKS mampu capai 40%


Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) melihat negara mampu mencapai sasaran sumbangan 40 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 bersandarkan kepada prestasi peningkatan bilangan pemain industri berkenaan setiap tahun.

Sumbangan PKS kepada KDNK tahun ini diunjurkan berkembang kepada 33.7 peratus berbanding 22.7 peratus tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hafsah Hashim berkata, prestasi positif itu membantu PKS mencatatkan 40 peratus kepada KDNK menjelang 2020 selaras dengan hala tuju negara untuk menjadi negara maju pada tahun berkenaan.

Beliau berkata, ini kerana PKS di negara maju mencatatkan sumbangan antara 40 dan 60 peratus kepada KDNK dan sekiranya industri berkenaan mampu mencapai sasaran berkenaan ia, sekali gus berupaya menjadinya sebagai satu penanda aras kemajuan Malaysia.

“SME Corp ingin mengingatkan supaya pemain PKS yang tidak mendaftarkan syarikat mereka supaya berbuat demikian segera kerana pelbagai manfaat dan bantuan bakal diterima antaranya dari segi pemasaran serta kewangan,” katanya pada majlis pelancaran Kongres Usahawan Muda Bumiputera 2014 di sini, semalam.

Kongres berkenaan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed anjuran Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia dan MITI  bertempat di Matrade Exhibiton and Convention Centre (MECC) dari 27 hingga 29 Mac ini.
Kongres yang bertemakan Ekonomi Satukan Kita membabitkan 1,500 peserta dan 200 gerai pameran serta jualan.

sumber dipetik dari:-http://www.hmetro.com.my/articles/SumbanganPKSmampucapai40_/Article

No comments: