Saturday 29 March 2014

Projek PKFZ jana RM100j setiap tahun

PROJEK Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah, yang kini mempunyai kadar pendudukan 94 peratus, dijangka menjana hasil RM100 juta setahun dalam tempoh lima tahun, kata Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datuk Teh Kim Poo.

Beliau berkata ini disebabkan PKFZ yang diurus oleh Port Klang Free Zone Sdn Bhd, unit milik penuh LPK, menawarkan peluang pelaburan kepada syarikat multinasional yang mempunyai potensi jangkauan ke pasaran luas meliputi negara Asean dan melepasinya.

 "Kira-kira 94 peratus daripada 256 hektar di PKFZ sudah pun dijanjikan kepada pelabur.
 
"Ini akan membolehkan PKFZ menjana hasil sebanyak RM100 juta setahun dalam tempoh lima tahun berbanding hanya RM40 hingga RM50 juta masa kini.

"Ini membuktikan bahawa PKFZ bukan projek tidak membawa hasil seperti didakwa oleh sesetengah pihak memandangkan kita sudah pun mula mencari lebih ramai pelabur," katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai pembangunan PKFZ dengan pelabur.

PKFZ terletak sebelah Pelabuhan Barat di Pulau Indah, dibina untuk menjadi hab eksport serantau dengan kegiatan perkilangan, selain kemudahan untuk memudahkan pertumbuhan pusat pengedaran serantau atau pusat perolehan antarabangsa.

Teh berkata pembangunan zon bebas itu melengkapi rancangan kerajaan Selangor untuk mengubah PKFZ menjadi pusat industri dan komersil, sekali gus memberikan pelabur pilihan membina kemudahan mereka sendiri.
PKFZ menawarkan peluang pelaburan kepada syarikat bertaraf dunia China seperti SM International berpangkalan di China, Global Vietnam Aluminium dan   Schlumberger yang sudah pun membuka pusat pembaikan dan penyelenggaraannya.

Sementara itu, Teh berkata PKA, badan pengawal selia dua pengendali terminal swasta - Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat - berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh untuk membayar pinjamannya daripada hasil dijana daripada operasi LPK dan projek PKFZ tanpa perlu bergantung kepada dana daripada kerajaan.

Mengenai rancangan masa depan, Teh berkata, beliau akan membina sebuah bangunan pejabat LPK baharu, lapan tingkat yang antara lain akan menempatkan sebuah dewan serba guna yang boleh mengisi 100 meja, selain memperkenalkan satu pelayaran menyusuri pelabuhan untuk memikat lebih ramai pelancong ke pelabuhan itu dan juga perkampungan nelayan di Pulau Ketam dan Sungai Lima. - Bernama
 
sumber dipetik:-http://www.sinarharian.com.my/bisnes/

No comments: