KUALA LUMPUR – Kira-kira 150 buah syarikat minyak dan gas dunia dijangka
jatuh muflis ekoran kejatuhan harga minyak mentah yang terus memberi
tekanan hebat kepada prestasi keuntungan syarikat terlibat.
Menurut perunding tenaga, IHS Inc. yang dipetik oleh stesen RTM,
bilangan syarikat yang berisiko ‘hancur’ adalah lebih dua kali ganda
daripada 60 pengeluar yang setakat ini telah pun memfailkan status
bankrap mereka.
Harga minyak mentah antarabangsa telah jatuh 70 peratus dalam tempoh
dua tahun susulan banyak pengeluar minyak shal di Amerika Syarikat (AS)
dilaporkan meningkatkan pengeluaran melebihi permintaan semasa.
Manakala Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada
masa sama pula terus membanjiri pasaran antarabangsa dengan bekalan
minyak mentah yang dianggap amat berlebihan daripada sepatutnya.
Lebih banyak syarikat dijangka memfailkan status muflis sekali gus
merupakan petanda bahawa harga bahan tenaga ’emas hitam’ itu sebenarnya
telah mencecah paras tercorot dalam rekod sejarah dunia sendiri.
Selain itu banyak syarikat terlibat juga terpaksa meningkatkan
tawaran bagi aset minyak dan gas yang kini dalam jualan bernilai AS$230
bilion untuk menanggung kerugian ekoran harga bahan api itu semakin
murah.
Dalam pada itu, agensi berita antarabangsa Reuters
melaporkan harga minyak mentah AS menurun dan terus menurun dalam
dagangan awal Asia berikutan simpanan minyak kini mencecah rekod paras
tertinggi.
Menurut hasil kajian terbaharu dikeluarkan oleh firma analisis
terkenal Goldman Sachs, harga komoditi tersebut akan kekal rendah dan
tidak menentu sehingga separuh tempoh kedua pada tahun ini.
Minyak mentah AS, West Texas Intermediate diniagakan pada AS$27.37
setong, jatuh lapan sen berbanding penutup sebelumnya, dan lebih 20
peratus lebih rendah berbanding paras tertinggi dicapai akhir Januari.
Inventori di Cushing, Oklahoma bagi penghantaran minyak mentah AS
yang sebelum ini mencatatkan peningkatan kini hanya merekodkan 65 juta
tong, menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga kerajaan AS pada Rabu.
Lebihan bekalan minyak itu, turut didorong akibat ekonomi perlahan di
China, sekali gus mengukuhkan harga akan kekal rendah sehingga separuh
kedua tahun ini, kata Goldman Sachs dalam satu kenyataan media.
“Risiko kebimbangan pertumbuhan lembap ekonomi di China dan penurunan
harga minyak global… satu kenyataan lebih cepat daripada apa yang kita
jangkakan sendiri,” kata jurucakap firma berkenaan.
“Kami menjangkakan harga turun naik antara AS$20 setong (paras
tekanan operasi) dan AS$40 setong (paras tekanan kewangan) dengan
situasi turun naik tiada trend harga sehingga pertengahan 2016,” katanya
lagi.
Harga minyak sejagat sudah jatuh hampir 75 peratus sejak pertengahan
tahun 2014 berikutan tindakan negara-negara OPEC sengaja mengepam minyak
antara satu hingga dua juta tong minyak mentah sehari.
Ia sebenarnya melebihi daripada permintaan semasa. Lebih memburukkan
lagi keadaan, ekonomi China juga dilaporkan menunjukkan pertumbuhan pada
kadar rendah. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Post a Comment