Monday, 1 February 2016

Maut dalam keadaan sujud

Mayat Arifin ditemui dalam keadaan seolah-olah sedang sujud di lokasi kejadian.

GUA MUSANG - Seorang peneroka warga emas di Felda Chiku 1 ditemui meninggal dunia dalam keadaan seumpama bersujud selepas terbabit dalam kejadian langgar lari di Kilometer 30 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, petang semalam.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 12.30 petang dan mangsa, Arifin Che Long, 74, menunggang motosikal berseorangan dari kebunnya di Jalan Felda Perasu untuk pulang ke rumah.

Mangsa dipercayai dirempuh oleh sebuah kereta dari arah belakang sebelum tercampak ke dalam semak di tepi jalan berkenaan bersama motosikal ditungganginya.

Mangsa kemudiannya dipercayai merangkak ke bahu jalan dan dipercayai meninggal dunia dalam keadaan bersujud sambil menahan kesakitan akibat kecederaan parah di kepala sebelum ditemui orang ramai yang kebetulan melalui lokasi berkenaan.

Anak mangsa, Farizi, 42, memberitahu, bapanya keluar rumah sejak jam 10 pagi dengan menunggang motosikal untuk ke kebun sawitnya di Jalan Felda Perasu.

"Sudah jadi kebiasaan ayah pergi ke kebun untuk melihat pokok sawit yang diusahakannya kerana bimbang ia dimusnahkan babi hutan. Arwah dipercayai dirempuh kenderaan dalam perjalanan pulang dan kepalanya cedera parah.

"Memang kebiasaan arwah pulang ke rumah sebelum jam 1 petang setiap hari walau ke mana pun dia pergi, kerana dia mahu ke surau berhampiran rumah untuk menunaikan solat Zohor berjemaah," katanya.

Farizi berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima berita tersebut dan melihat sendiri keadaan mayat mangsa dalam keadaan sujud dipercayai kerana teringat untuk menunaikan solat Zohor sambil menahan kesakitan.

Isteri mangsa, Che Zaharah Awang Kecil, 65, berkata, kebiasaannya mangsa akan membawanya atau anak-anak sebagai peneman jika ke kebun sawit, namun pada hari kejadian dia pergi berseorangan.

"Dia (mangsa) tidak pernah gagal solat berjemaah di surau pada setiap waktu dan mungkin keadaannya semasa meninggal merupakan petunjuk dari ALLAH SWT. Jika benar ia petunjuk dari-Nya, makcik rasa lega kerana arwah mendapat keberkatan Ilahi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah memaklumkan, kejadian yang meragut nyawa mangsa dipercayai langgar lari berdasarkan nombor pendaftaran dan lampu belakang motosikal mangsa pecah.

Menurutnya, setakat ini belum ada mana-mana pihak tampil membuat laporan berhubung kejadian dan beliau berharap mereka yang melihat kejadian tersebut dapat tampil membantu siasatan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 1. petang kelmarin.

sumber : sinarharian.com.my/

No comments: