Monday 1 February 2016

Negara kita tak perlu "menteri bahan jenaka" – TMJ

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata negara memerlukan menteri bijak yang boleh berkhidmat kepada rakyat, bukan berkhidmat untuk menampung poket mereka sendiri. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Januari:

Langkah pertama dalam usaha menambah baik sistem adalah dengan mengeluarkan beberapa menteri yang dianggap sebagai bahan jenaka.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata negara memerlukan menteri bijak yang boleh berkhidmat kepada rakyat, bukan berkhidmat untuk menampung poket mereka sendiri.

“Saya berdoa agar keadaan dan kesedaran politik di negara ini akan diperbaiki untuk manfaat rakyat.

“Saya berjanji bahawa saya akan terus bersuara untuk rakyat dan bukannya untuk mencetuskan ketegangan tetapi bekerja bersama-sama dan memperbaiki bahagian-bahagian tertentu yang masih lemah kerana ia adalah tugas dan tanggungjawab saya sebagai Tunku Mahkota untuk berkhidmat kepada rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook JOHOR Southern Tigers, semalam.

Jelas Tunku Ismail, beliau mengambil berat tentang keadaan politik negara dalam usaha menjadikan negara ini tenpat yang lebih baik untuk generasi akan datang, walaupun terdapat beberapa pihak cuba mendiamkannya.

Walaupun mengakui dirinya bukan ahli politik, Tunku Ismail meluahkan bahawa apa yang dilakukannya adalah untuk kesejahteraan rakyat.

“Apabila saya menyuarakan perkara tentang politik, anda perlu memahami bahawa ianya bukan untuk diri saya. Ia tidak pernah bersifat peribadi. Ia sentiasa untuk rakyat.

“Saya amat menjaga kebajikan rakyat Johor dan juga rakyat Malaysia yang lain.

“Saya bukan seorang ahli politik dan saya tidak perlukan sebarang undi. Saya hanya seorang putera yang sayangkan rakyat dan apa yang saya katakan atau lakukan, adalah untuk kesejahteraan mereka,” kata Tunku Ismail.

sumber : bm.therakyatpost.com/

No comments: