Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak
berkata, kerajaan tidak memberi subsidi bagi caj telefon bimbit kepada bukan
warganegara.
Beliau berkata, keputusan untuk memberikan rebat kepada pengguna kad
prabayar menunjukkan kerajaan mendengar kebimbangan dan permintaan rakyat.
"Rebat ini merupakan satu tanggungjawab bersama yang dibayar oleh
kerajaan dan syarikat telekomunikasi, untuk rakyat Malaysia.
"Warga asing tidak akan mendapat rebat ini," katanya kepada
pemberita di sini, Selasa.
Beliau berkata, antara isu yang ditangani termasuk mekanisme bagi memastikan
bahawa pengguna warga asing tidak akan diberikan rebat berkenaan, tempoh masa
untuk mengkreditkan rebat dan jumlah yang dikongsikan oleh kementerian dan
syarikat telekomunikasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016
baru-baru ini mengumumkan bahawa pengguna kad prabayar akan mendapatkan rebat
berdasarkan jumlah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dibayar,
dari 1 Januari sehingga 31 Disember tahun depan.
Terdapat seramai 33 juta pengguna perkhidmatan kad telefon prabayar di
negara ini, menjadikannya sehingga 80 peratus daripada jumlah pengguna telefon
bimbit.
Daripada jumlah itu, dianggarkan lima juta dipercayai adalah pengguna warga
asing.
Menteri berkata, kad prabayar masih tertakluk kepada GST tetapi pengguna
akan mendapat rebat dan dapat menggunakan masa bercakap bersamaan dengan jumlah
yang dibayar.
Sebagai contoh, katanya, sekiranya pengguna membayar RM10, masa bercakap
bernilai 60 sen akan dikreditkan ke dalam akaun.
"Bagaimanapun, pengguna warga asing tidak akan menikmati faedah ini.
Jika mereka membeli kad prabayar RM10, tambah nilai mereka hanya bernilai
RM9.40 selepas dikenakan GST," kata Mohd Salleh.
sumber : mstar.com.my/
No comments:
Post a Comment