Wednesday 18 November 2015

Bisnes teksi bakal gulung tikar

SEORANG anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat menyamar sebagai penumpang ketika menaiki kereta sewa haram di Kota Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Lebih 70,000 pemandu teksi di seluruh negara bakal gulung tikar ekoran kewujudan perkhidmatan kereta sewa Uber dan Grabcar yang beroperasi secara haram dan telah menjejaskan sumber pendapatan mereka. 

Kewujudan kereta sewa Uber dan Grabcar didakwa telah menjejaskan sumber pendapatan para pemandu teksi sebanyak 30 peratus selain mereka terpaksa bekerja lebih masa bagi mendapatkan pulangan yang setimpal untuk mengelakkan kerugian. 

Ketika ini terdapat lebih 500 pemandu kereta sewa haram itu yang menawarkan perkhidmatan menerusi online dan beroperasi di sekitar Lembah Klang selain bandar-bandar besar seperti Seremban, Johor Bahru serta Melaka. 

Menurut pengasas Syarikat Perkhidmatan Teksi Premium Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail, sebelum kereta sewa haram beroperasi dua tahun lalu, seorang pemandu teksi mampu memperoleh pendapatan sekitar RM350 sehari di sekitar kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC). 

Bagaimanapun, katanya, dengan kewujudan kereta sewa haram itu pemandu teksi kini hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM150 sehari. 

“Jika dahulu, jumlah keseluruhan trip yang dilakukan oleh pihak syarikat adalah sekitar 500 kali sehari tetapi kini kami hanya dapat melakukan trip sebanyak 300 kali sahaja, ” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

sumber : kosmo.com.my/

No comments: