Sultan Ahmad Shah dtemani Sultanah Hajah
Kalsom bersama kereta elektrik lengkap nombor pendaftaran khas singkatan nama
baginda yang diterima sebagai hadiah sempena ulang tahun keputeraannya dalam
majlis itu.
KUANTAN - Keberangkatan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah ke majlis
santapan sempena meraikan ulang tahun keputeraan baginda di sebuah hotel
terkemuka di ibu negara kelmarin, disambut dengan penuh kejutan.
Majlis itu adalah perancangan putera baginda, Tengku Arif Temenggung Pahang
Tengku Fahad Mua’adzam Shah yang kini sedang melanjutkan pengajian di
Universiti Princeton, Amerika Syarikat.
Idea dan hasrat Tengku Fahad Mua’adzam Shah untuk memberi kejutan sempena
ulang tahun keputeraan ayahandanya itu dirancang bersama Naib Pengerusi TAT
Alliance Sdn Bhd, Datuk Seri Johny Ch’ng Ewe Gee melalui laman sosial tanpa
pengetahuan Tuanku.
Lebih bermakna lagi, Sultan Ahmad Shah turut menerima hadiah istimewa iaitu
sebuah kereta elektrik dua tempat duduk lengkap dengan nombor pendaftaran khas
singkatan nama baginda SAS 2015.
Johny Ch’ng berkata, Tengku Fahad yang juga Pengerusi TAT Alliance Sdn Bhd
menyatakan hasratnya untuk mengadakan majlis bagi meraikan keputeraan seri
paduka ayahandanya itu.
Menurutnya, walaupun sibuk dengan pengajiannya, Tengku Fahad tetap mahukan
satu majlis diadakan untuk meraikan Tuanku walaupun beliau tidak dapat bersama
dalam majlis itu.
“Beliau berbincang dengan saya melalui e-mel, WhatsApp dan kadang-kadang
melalui panggilan telefon untuk merealisasikan majlis itu dengan beberapa
kejutan istimewa,” katanya.
Johny Ch’ng berkata, baginda ternyata terkejut apabila dimaklumkan bahawa
individu utama di sebalik perancangan, idea dan persiapan majlis santapan penuh
meriah itu adalah putera baginda sendiri.
“Lebih manis, kehadiran tetamu yang dijemput khas untuk berkongsi kemeriahan
majlis itu termasuk duta dari Palestin, Iran, Nepal, Kuwait, Jepun, Sri Lanka,
Kanada, Brazil, Arab Saudi, Mesir, Kemboja, Nigeria, Myanmar, Indonesia dan
Kazakhstan,” katanya.
Menurutnya, beliau bangga dan terharu dengan kasih sayang ditunjukkan Tengku
Fahad terhadap seri paduka ayahandanya walaupun berada jauh malah sentiasa
mendoakan agar tuanku sentiasa diberkati, diberikan kesihatan yang baik,
kegembiraan dan umur panjang.
“Beliau selalu mengingatkan saya terhadap hasratnya itu dan akhirnya majlis
itu berjaya diadakan seperti diimpikan,” katanya.
Johny Ch’ng yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)
Pahang berkata, majlis turut dihadiri beberapa kenamaan serta ahli SAS ahli
Privilege Club.
Majlis diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan oleh pelajar SJK (C)
Pei Chai, persembahan artis dari Indonesia dan Thailand, serta bacaan puisi
Sembah Setia Patik Jelata, Junjung Kasih Tuanku di Takhta oleh guru sekolah dan
penyair Teo Wei Sing.
Dalam majlis sama, Sultanah Kalsom turut menyampaikan anugerah usahawan
cemerlang kepada lapan ahli SAS.
sumber : sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment