Friday 20 November 2015

Liat bayar sewa rumah RM124


Tinjauan Kosmo! semalam mendapati ada penghuni di PPR Laksamana Jalan Peel, Kuala Lumpur yang mampu menggunakan kereta mewah seperti Honda Civic, Hyundai Elantra dan Chery Easter. 

KUALA LUMPUR – Walaupun hanya perlu membayar RM124 sebulan atau RM4 sehari, hampir 28,000 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih liat membayar sewa rumah menyebabkan hutang tertunggak setakat ini mencecah RM50 juta. 

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz (gambar kecil), terdapat kira-kira 28,000 penyewa rumah PA dan PPR yang begitu degil menjelaskan sewa tunggakan sehingga tidak mengendahkan surat-surat amaran yang telah dikeluarkan DBKL. 

“Pihak DBKL sepatutnya memperoleh RM80 juta setahun untuk sewa rumah PA dan PPR, bagaimanapun jumlah yang berjaya dikutip hanya RM60 juta. Selepas kami mengeluarkan surat amaran, kita dapat kutip sebanyak RM10 juta lagi. 

“Baki RM10 juta terus tertunggak dan setelah dikumpul jumlah hutang sejak lima tahun lalu sudah mencecah RM50 juta. 

“Saya amat kecewa dengan sikap penghuni yang tidak mahu memberikan kerjasama walaupun sewa bulanan hanyalah RM124 sebulan, sedangkan mereka boleh melunaskan bil Astro, kereta dan motosikal,” katanya pada sidang akhbar Bajet DBKL 2016 di Menara DBKL di sini semalam.

Mhd. Amin berkata, pihak DBKL terpaksa bertindak tegas terhadap penyewa yang begitu berdegil apabila dalam tempoh dua tahun ini pihaknya telah merampas kembali lebih 256 unit rumah dengan mengunci bekalan air, selain lima penyewa dibawa ke mahkamah. 

“Mereka yang dibawa ke mahkamah itu disebabkan hutang yang terlampau tinggi sehingga ada yang berjumlah lebih RM10,000,” katanya. 

sumber : kosmo.com.my/

No comments: