JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei hanya tinggal selangkah sahaja
lagi untuk meraih gelaran kelima musim ini apabila mara ke final Kejohanan
Badminton Siri Super Terbuka Hong Kong hari ini.
Pemain berusia 33 tahun itu meneruskan cabaran pada kejohanan di Kowloon itu
selepas menewaskan wakil tuan rumah, Angus Ng 21-19, 21-14 pada aksi separuh
akhir di Hong Kong Coliseum semalam.
Angus yang kini berada di ranking ke-22 dunia memulakan set pertama dengan
aksi yang agresif untuk mendahului 6-0 sebelum Chong Wei mula mengutip tiga
mata pertama perlawanan.
Corak permainan yang lebih tersusun membuatkan pemain berusia 21 tahun itu
mudah menguasai awal set pertama, namun sebaik sahaja Chong Wei mendapat
rentak, dia mula mengejar untuk merapatkan jurang mata.
Permainan juga agak terganggu apabila jari tangan kanannya melecet dan
berdarah terkena permukaan lantai gelanggang ketika mahu menyelamat pukulan
smash lawannya itu. Namun kecederaan kecil itu langsung tidak menyekat
kebangkitannya, sekali gus menamatkan set pertama itu dengan kemenangan 21-19
dalam tempoh 24 minit.
Aksi pada set kedua kelihatan lebih memihak kepada Chong Wei, walaupun mudah
mengutip lapan mata untuk mendahului 18-9 pada penghujung perlawanan tetapi dia
turut dikejutkan dengan kebangkitan Angus yang sempat meraih lima mata.
Bagaimanapun, Chong Wei yang tersentak dengan kebangkitan lawannya itu
segera menyusun strategi untuk kembali mendominasi permainan, sekali gus
mengesahkan kemenangan set kedua dengan keputusan 21-14.
Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock memuji semangat yang dipamerkan
Chong Wei walaupun dia kelihatan agak letih ekoran aksi yang sengit ketika
menewaskan pemain China, Chen Long pada aksi suku akhir kelmarin.
“Saya nampak permulaan agak perlahan mungkin dia keletihan selepas bertarung
sengit dengan Chen Long semalam (kelmarin) tetapi selepas berjaya mengatasi
masalah itu, dia mula menunjukkan prestasi yang luar biasa.
“Saya juga mahu beri kredit kepada pemain muda Hong Kong ini kerana dia
sangat bersemangat, tidak mudah mengaku kalah dan permainan dia juga agak
matang,” kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! Ahad di Hong Kong semalam.
Chong Wei yang pernah menjuarai Terbuka Hong Kong pada edisi 2009, 2010 dan
2013 akan bertemu pemain China, Tian Houwei yang turut mara ke final selepas
menewaskan Anthony Ginting dari Indonesia dengan keputusan 18-21, 21-11, 21-6
dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Seu Bock berharap, Chong Wei tidak mudah hilang fokus apabila berdepan
dengan pemain yang turut menyimpan hasrat untuk melakar kejutan ke atas pemain
nombor satu Malaysia itu.
sumber : kosmo.com.my/
No comments:
Post a Comment