Monday, 23 November 2015

‘Low Yat 2’ Himpun Peniaga Gajet Melayu, Dibuka Awal Disember

GAMBAR HIASAN

SELAMA ini jika mahu membeli barangan digital dan elektronik terutama gajet atau telefon bimbit, salah satu lokasi paling sering dikunjungi pengguna pastinya Plaza Low Yat yang terletak di Bukit Bintang. 

Terkini, dalam usaha memberikan alternatif selain Low Yat dan PJ Digital Mall kepada pengguna tempatan, sebuah premis serupa yang dinamakan Low Yat 2 bakal dibuka.

Low Yat 2 yang dijangka beroperasi pada minggu pertama Disember 2015 terletak di bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kuala Lumpur. 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pusat teknologi baharu ini dijangka menjadi tumpuan untuk mendapatkan perkhidmatan dan barangan teknologi berkualiti pada harga lebih rendah berbanding premis sedia ada sekarang. 

“Kita jangkakan pusat itu nanti akan menjadi tempat tumpuan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan barangan teknologi pada harga yang lebih rendah berbanding tempat lain.

“Saya juga berharap semua barang yang dijual adalah berkualiti tinggi dan sudah pasti sebarang produk tiruan akan dirampas oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang akan membuat pemantauan,” jelasnya. 

Idea penubuhan Low Yat 2 muncul selepas tercetus kes pergaduhan di Plaza Lowyat, beberapa bulan lepas.
Selain itu, ia merupakan usaha kerajaan bagi memberi lebih galakan kepada penjual dan pengusaha bumiputera untuk menyertai bidang perniagaan melibatkan barangan digital dan teknologi yang selama ini dikuasai bangsa lain. 

Diharapkan, Low Yat 2 menjadi alternatif terbaik buat pengguna yang ingin membeli gajet seperti telefon bimbit tanpa risau ditipu.

sumber : mynewshub.cc/

No comments: