KUALA LUMPUR – Penduduk di sekitar laluan LRT Ampang di sini ‘gempar’
pagi Isnin apabila sebuah tren LRT tergelincir dari landasan menyebabkan
sembilan penumpang "cedera".
Sejumlah 91 penumpang dalam tren itu ‘panik’ bila khuatir
kegelinciran itu boleh menyebabkan kenderaan tersebut terhumban ke jalan
raya.
Pasukan bomba yang menerima panggilan bergegas ke tempat kejadian.
Anggotanya segera membantu penumpang keluar dari tren yang sebahagiannya tersadai di luar landasan.
Pasukan ambulans bergegas menghantar mereka yang ‘cedera’ ke hospital.
Sementara itu, penumpang yang selamat dibawa keluar berjalan kaki sejauh kira-kira 400 meter ke stesen berdekatan.
Mereka melalui laluan kecemasan dengan bimbingan staf Rapid Rail.
“Insiden” itu sebenarnya simulasi dalam satu latihan bagi
mempersiapkan petugas menangani situasi ketika berlaku kemalangan atau
kecemasan.
Latihan yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi itu bagi menguji keberkesanan Pelan Tindakan Kecemasan.
Pelan itu dilaksanakan Prasarana Malaysia Berhad melibatkan laluan
dari stesen baharu IOI Puchong yang akan dibuka dalam fasa kedua projek
penyambungan jajaran LRT laluan Ampang pada 31 Mac depan.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Rail and
Infrastructure Project Sdn Bhd Datuk Zohari Sulaiman berkata ujian itu
bagi membolehkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyediakan
laporan lengkap bagi tujuan mendapatkan kelulusan untuk pembukaan laluan
berkenaan.
Latihan itu melibatan antara lain polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pasukan perubatan.
Untuk laluan Kelana Jaya, latihan serupa akan diadakan pada 14 April depan di stesen LRT Subang Alam. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment