Friday 22 January 2016

Brunei Haramkan Penjualan Produk Qu Puteh Kerana Ada Merkuri


KERAJAAN Brunei telah mengharamkan penjualan beberapa produk kosmetik dan kesihatan termasuk dua produk jenama Qu Puteh susulan didakwa mengandungi bahan berbahaya.

Menurut laporan portal The Brunei Times, ujian yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Farmasi itu mendapati Krim pemutih Qu Puteh Whitening Pro 9 , Qu Puteh Whitening UV Block mengandungi kandungan raksa atau lebih dikenali sebagai merkuri.

Manakala, satu lagi produk menguruskan badan iaitu Chantique Beauty Slimming Herbal mengandungi spironolakton.

Dalam satu kenyataan kementerian itu, penggunaan merkuri boleh menyebabkan ruam kulit, hilang ingatan, kelemahan otot dan merosakkan otak serta ginjal.

Sementara penggunaan spironolakton tanpa penyeliaan boleh menyebabkan rasa dedar, keliru, mengantuk, pening, bengkak payudara, kitaran haid tidak teratur, kejang, rambut gugur dan ruam.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan Brunei menyatakan produk-produk yang mengandungi bahan-bahan berbahaya itu tidak dibenarkan diimport dan dijual di negara itu.

Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dihukum denda maksimum $5,000 (RM15,000), hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seperti umum maklum, produk Qu Puteh edaran Vida Beauty Sdn Bhd adalah milik usahawan popular, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida.

Berita larangan penjualan produk ini di Brunei pastinya mengejutkan ramai kerana Datuk Seri Vida sering kali muncul di kaca televisyen dan menaja banyak program hiburan berprestij serta menaja pasukan bola sepak Kelatan bagi mempromosikan produknya.

sumber : mynewshub.cc/

No comments: