Tuesday 19 January 2016

Dua pelajar kolej ditahan bersama Porsche

Dua warga tempatan itu ditahan bersama sebuah kereta mewah jenis Porsche, Jumaat lalu. - Foto hiasan

SUBANG JAYA, 19 Januari:

Dua pelajar kolej swasta yang dipercayai aktif menjual ganja kepada penuntut kolej di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya, ditahan bersama sebuah kereta mewah jenis Porsche, Jumaat lalu.

Warga tempatan berusia 23 dan 25 tahun itu ditahan pada jam 9.55 malam di kawasan letak kenderaan, hadapan sebuah kedai makan, di Regalia Business Park.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata, polis turut merampas satu ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 1,002 gram, yang ditemui dalam beg sandang seorang daripada suspek itu.

“Susulan itu, kita turut merampas 1,003 gram ganja yang dijumpai di kediaman salah seorang suspek di Bangsar Baru,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, penahanan kedua-dua suspek itu susulan maklumat daripada dua lelaki, iaitu pelajar kolej di Nilai berusia 23 tahun dan seorang penganggur berusia 20 tahun yang merupakan pelanggan kedua-dua suspek yang ditahan Rabu lalu.

Pelajar kolej di Nilai dan penganggur itu ditahan di sebuah rumah di Persiaran Mulia, kerana memiliki ganja seberat 1.2 gram.

Beliau berkata, polis percaya kegiatan menjual ganja yang menyasarkan golongan pelajar itu, baru dimulakan suspek berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Yahaya berkata, seorang pelajar kolej berusia 18 tahun ditahan berhampiran sebuah kolej di Bandar Sunway, Khamis lalu, kerana memiliki dua ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 210 gram.

“Ketika ditahan, pelajar itu sedang berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan sambil memegang sampul surat berisi ganja,” katanya sambil menambah, polis masih menyiasat dari mana pelajar itu mendapat ganja berkenaan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

sumber : therakyatpost.com/

No comments: