Saturday 23 January 2016

Malaysia, Brunei haram Qu Puteh


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengharamkan penjualan produk Qu Puteh White­ning Pro 9 keluaran syarikat kosmetik jenama terkenal Vida Beauty Sdn. Bhd. (Vida Beauty) milik usahawan ter­kenal, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman kerana dikesan me­ngandungi paras merkuri yang berbahaya kepada kesihatan manusia.

Pengharaman itu dibuat selepas Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) mendapati produk tersebut mengandungi bahan racun berjadual yang boleh me­ngakibatkan kerosakan kepada buah pinggang dan sistem saraf, mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan jika digunakan dalam tempoh yang lama.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Brunei menerusi akhbar The Brunei Times turut mengharamkan dua produk keluaran syarikat tersebut iaitu Qu Puteh Whi­tening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block yang didapati mempunyai kandu­ngan merkuri.

Selain itu, Brunei turut mengharamkan produk kapsul Chantique Beauty Slimming Herbal kerana didapati mengandungi spironolactone yang boleh menyebabkan kelesuan, kekeliruan, me­ngantuk, pening, rasa tidak selesa pada payu dara dan menyebabkan ia besar, haid tidak teratur, kejang, keguguran rambut serta ruam kulit.

sumber : kosmo.com.my/


No comments: