KUALA LUMPUR – Pengusaha-pengusaha stesen minyak seluruh negara
meluahkan rasa risau mereka dengan trend harga minyak mentah dunia yang
terus merudum dan mungkin boleh menyebabkan perniagaan mereka 'gulung
tikar'.
Harga terbaru minyak mentah dunia adalah pada paras A$30 (RM132.7) setong.
Akhbar Kosmo! melaporkan rata-rata pengusaha stesen minyak di beberapa
negeri menerima kesan akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia dengan
margin keuntungan yang semakin mengecil bahkan ada yang kerugian antara
RM10,000 hingga RM24,000 sebulan.
Seorang pengusaha stesen minyak di Bandar Permaisuri berkata masalah
yang timbul adalah apabila mereka membeli bekalan minyak dengan harga
tinggi, namun gagal menjual dengan harga yang sama apabila berlaku
kejatuhan pada harga produk tersebut.
“Kerugian yang saya alami bergantung kepada jumlah stok minyak dalam
tangki apabila ia dibeli pada harga mahal tetapi tidak sempat dijual
ketika harganya telah jatuh.
“Saya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 hingga RM15,000
sebulan tetapi ada juga pengusaha lain yang mengalami kerugian sehingga
RM24,000 sebulan. Perkara ini boleh menyebabkan kami gulung tikar
sekiranya harga minyak terus jatuh,” katanya- Siakapkeli.my
No comments:
Post a Comment