PETALING JAYA: Datuk Seri Mohammad Fairus Khairuddin
akhirnya tampil meleraikan misteri disebalik penggunaan gelaran "Yang
Mulia Tunku" sejak hampir lima bulan lalu apabila mengakui dirinya
berdarah raja.
Akui bekas Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang itu, beliau
sememangnya berketurunan kerabat diraja Kedah melalui susur galur
bapanya yang menggunakan gelaran 'Tunku Khairuddin Ibni Tengku Che
Kama'.
Kata Mohammad Fairus, salasilah keluarganya adalah dari keturunan
Almarhum Tuanku Sultan Sir Abdul Hamid Halim Syah Ibni Almarhum Tuanku
Ahmad Tajuddin Mukarramsyah iaitu Sultan Kedah ke-25.
Sehubungan itu, tegas Mohammad Fairus, 40, beliau layak menggunakan gelaran “Yang Mulia Tunku’ di pangkal namanya.
“Memang nasab saya berketurunan diraja sebelah almarhum ayahanda saya.
Jadi apa masalahnya dengan perkara itu? Semua orang ada nasab
masing-masing.
“Orang kita kebanyakannya sudah tak peduli tentang nasab diri sendiri. Ikut cara barat, tak kenal mana hujung pangkal diri.
“Tapi bila ada orang lain yang menyegarkan dan memelihara nasab sendiri,
timbul pelbagai sangkaan. Gunalah pemikiran yang rasional, adakah itu
mengganggu sesiapa?” katanya.
Menerusi pengakuannya secara berterus-terang kepada mStar Online, Mohammad Fairus berkata, pemasyurannya sebagai kerabat diraja Kedah tidak menyalahi undang-undang.
"Kalau saya buat macam orang yang mengaku 'Sultan Melaka' tu, tiba-tiba
bagi pingat kepada orang, mengaku diri sebagai Sultan Kedah, itu
lainlah.
"Ini nasab saya, orang lain tak ada hak nak ganggu.
"Saya pun ada reputasi nak dijaga, takkan saya nak buat benda-benda yang merapu, mengaku nasab tanpa ada sebab," katanya.
Pada Selasa, mStar Online mendedahkan Mohammad Fairus yang juga
bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti yang mewakili Parti
Keadilan Rakyat (PKR) kini bergelar 'Yang Mulia Tunku Datuk Seri
Panglima' dengan mendakwa dirinya berasal daripada keturunan kerabat
diraja Kedah.
Hasil carian di Internet mendapati Mohammad Fairus 'dimasyurkan'
mempunyai nasab atau pertalian darah dengan kerabat diraja kesultanan
Kedah pada 8 Ogos 2015.
Berhubung persoalan mengapa beliau secara tiba-tiba mengisytiharkan
mengenai asal usulnya, Mohammad Fairus berkata, beliau terpaksa berbuat
demikian apabila 'cukup umur' 40 tahun mengikut kalendar Islam.
"Dah lama saya tahu asal usul ini, dari kecil ketika dilahirkan saya dan
abang sulung memang dibuat istiadat dengan warna kuning.
"Cuma apabila betul-betul jelas nasab saya, dan setelah cukup umur 40
tahun dalam kalendar Islam, barulah diisytiharkan oleh bapa saudara
saya.
"Selama ini rahsia itu disimpan. Saya juga dipesan, sama ada raja atau
tidak, darah kita tetap merah. Bila mati nanti kain kafan tetap putih,"
katanya.
Tambah Mohammad Fairus lagi, beliau juga pernah dihubungi oleh pihak
istana Kedah bagi mendaftarkan dirinya sebagai ahli kerabat diraja
negeri itu.
"Beberapa tahun dulu pihak istana ada berikan surat berwarna kuning
bertulisan jawi, tapi masa itu saya sendiri belum tahu secara
keseluruhan nasab keluarga. Sebab itu saya tangguhkan," katanya.
Beliau juga bercadang untuk menghubungi pihak berkaitan bagi mendaftarkan dirinya sebagai keturunan diraja Kedah.
sumber : mstar.com.my/
No comments:
Post a Comment