PUTRAJAYA – Selepas ‘dihentam’ pelbagai tohmahan jahat oleh segelintir
bukan Muslim dan Parti Amanah Negara (PAN) pro-DAP, Rayani Air mula
balas kritikan terhadap pihak pengkritik yang dilihat ada agenda
tersirat.
Terbaharu, syarikat penerbangan tempatan itu membidas dakwaan bekas
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan Rayani Air
konon cuba mempergunakan nama Islam untuk mengaut keuntungan.
Menurut Ketua Pengarah Operasinya, Kapten Sumar Lee Hashim Lee,
pihaknya cuba menampilkan ciri-ciri Islam dalam penerbangan mereka
kerana bertepatan dengan imej Malaysia sendiri sebagai sebuah negara
Islam contoh.
Beliau sekali gus menolak dakwaan Rayani Air hanya bermotifkan
keuntungan semata-mata, sebaliknya ia cuba bantu bangsa Melayu khususnya
dalam ‘cari’ rezeki bekerja halal patuh syariah berbanding syarikat
udara lain.
Meskipun pemiliknya adalah berbangsa India dan bukan Muslim, namun
konsep keislaman yang diterapkan itu adalah cetusan idea daripada empat
orang kakitangan dalam bidang pengoperasian termasuk diri beliau
sendiri.
“Itu mungkin sekadar pandangan peribadi Tun, dalam sesuatu perniagaan
apa-apa pun memang syarikat hendak untung, sebab kalau tidak mahu
untung, lebih baik mereka tidak perlulah berniaga dengan susah payah.
“Tetapi apabila ada dakwaan kononnya kita mempergunakan nama Islam
untuk kaut keuntungan, itu adalah tidak betul, kita hanya bawa ciri-ciri
Islam dalam syarikat penerbangan ini yang tiada pada pesaing kami
sendiri.
“Contohnya kita tengok bisnes tudung Fareeda atau Neelofar. Jika
tidak kerana ciri-ciri Islam yang ditampilkan, pengeluar tudung itu
sendiri pun takkan untung,” kata Sumar Lee dalam temubual eksklusif
portal BNBBC.my.
Rayani Air akhir bulan lalu mula menjadi sensasi apabila
memperkenalkan imej sebagai syarikat penerbangan tempatan pertama patuh
syariah yang mewajibkan krew kabin khasnya wanita Muslim untuk memakai
tudung.
Syarikat tersebut juga menyediakan hidangan daripada sumber halalan toyyiban, melarang penyajian minuman keras malah mengamalkan bacaan doa menerusi pengumuman suara sebelum pesawat memulakan penerbangan.
Langkah unik Rayani Air itu, mendapat respons daripada Dr. Mahathir
apabila mempersoalkan adakah melayan penumpang dengan pramugari memakai
tudung boleh menunjukkan ia lebih Islam berbanding syarikat yang lain.
“Pakai tudung masa buat kerja itu salahkah? Ia sopan, Islam wajib
pakai tudung, itu antara ciri-ciri Islam yang kita masukkan, di Malaysia
juga sekarang ni ciri keislaman sudah menjadi satu tarikan dan ia
adalah satu kebaikan.
“Bukan hendak tunjuk kami yang lebih Islam, cuma kita mahu penuhi
kehendak keislamaan dengan ketengahkan konsep asas ciri-ciri Islam di
mana kita telah mewajibkan semua pekerja wanita Muslim kita mesti pakai
tudung.
“Polisi yang kita buat itu bahkan disambut baik, bukan setakat
pekerja kami menyambut baik, malah sekarang ni wanita Malaysia semakin
ramai yang tampil ‘berhijrah’ dengan mula berani memakai tudung,” ujar
Sumar Lee.
Rayani Air melakar rekod sebagai syarikat penerbangan berkonsepkan
patuh Syariah sepenuhnya yang keempat di dunia selepas Saudi Arabian
Airlines, Iran Air dan Royal Brunei Airlines. – Agensi/
sumber : mynewshub.cc/
No comments:
Post a Comment